Monday, July 5, 2010

Kerjasama Kedah-Pusat bangunkan Pusat Tamadun Manusia di Merbok

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

Alor Setar, 20 Mei – Kerajaan Negeri Kedah akan memberi kerjasama sebaiknya kepada Kerajaan Pusat untuk membangunkan semula Pusat Tamadun Manusia di Sungai Batu, Merbok.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak dalam pertemuan dengan Menteri Penerangan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Wisma Darul Aman.


Datuk Dr. Rais mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Azizan untuk membincangkan mengenai usaha membangunkan Pusat Tamadun Manusia tersebut yang melibatkan usahasama antara dua pihak, negeri dan pusat.

Sunday, June 13, 2010

MB rasmi tanam cerucuk Persatuan Budhist Kedah

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan bahawa adalah menjadi dasar kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada kemudahan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

“Kerajaan telah menyumbang RM150 ribu kepada tiga sekolah persendirian jenis kebangsaan Cina.

“Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk membeli sebidang tanah seluas 4 ekar bagi mendirikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong di Suka Menanti,” jelas beliau pada majlis rumah terbuka dan upacara menanam cerucuk bangunan baru Persatuan Buddhist Kedah di Jalan Putra, di sini.

Menurut beliau, kerajaan juga telah meluluskan RM10 ribu untuk jamuan majlis tersebut sebagai tanda kesejahteraan rakyat diperkukuhkan serta kebebasan agama dijaminkan oleh perlembagaan.

“Saya dimaklumkan bahawa Persatuan Buddhist Kedah telah lama memohon tapak ini untuk dibangunkan, tetapi oleh kerana beberapa sebab terhalang, mereka tak dapat kelulusan sebelum ini.

“Pada hari ini telah membuktikan bahawa kerajaan akan melayan dan berlaku adil tanpa mengira kaum demi menunaikan keperluan dan permintaan mereka.

“Kebebasan agama telah dijaminkan oleh perlembagaan, walaupun agama Islam sebagai agama rasmi, tetapi agama lain boleh diamalkan penuh kebebasan dan kedamaian di mana-mana saja dalam negara kita. Ajaran Islam meminta kita menghormati agama lain,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB S. Manikumar, Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Dato’ Latt Shariman Abdullah, ADUN Kota Darul Aman, YB Lee Guan Aik serta ketua-ketua Sami Wat Siam Kedah/Perlis.

Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah China Kedah kunjungi Menteri Besar

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 6 Jun: Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah China Kedah mengadakan kunjung hormat terhadap Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di pejabatnya di Wisma Darul Aman.

Rombongan ini diketuai pengerusinya Tan Kok Hooi, tiga Naib Pengerusi iaitu Lim Cheng Pow, Ch’ng Chuwn Leong dan Ho Khoon Kung, Penolong Setiausaha Lee Yean Wang, Bendahari Khoo Eng Kua dan dua Ahli Jawatankuasa iaitu Tan Ah Kiang dan Ang Koy Chai.

Sebagai sekolah jenis kebangsaan mereka menghadapi pelbagai masalah termasuklah tapak sekolah, ruang bangunan yang sempit dan peralatan seperti gantian kerusi dan meja yang rosak memerlukan kos yang berterusan setiap tahun.

Lain-lain masalah yang dikemukakan kepada YAB Menteri Besar ialah isu hutang cukai tanah tapak sekolah.

Kunjungan oleh persatuan itu menunjukkan, pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah hari ini mendapat keyakinan dan kepercayaan pelbagai pihak.

Sunday, May 23, 2010

Spekulasi DUN Kedah bubar berakhir

Ditulis oleh AZMAN AHMAD

KOTA SARANG SEMUT, 22 Mei - Spekulasi kononnya Menteri Besar YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan DUN ekoran empat ADUN dari gabungan parti kerajaan yang memerintah akan 'melompat' parti berakhir apabila keempat-empat ADUN yang dilibatkan membuat penegasan bahawa mereka sekali-kali tidak akan keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar.

Keempat-empat ADUN tersebut ialah YB Lim Soo Nee (PKR Kulim), YB Tan Chow Kang (PKR Sidam), YB S. Manikumar (PKR Bukit Selambau) dan YB Lee Guan Aik (DAP Kota Darul Aman). Keempat-empat mereka berceramah bersama YAB Menteri Besar di hadapan lebih 20 ribu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah di sini. Kesemua mereka meminta spekulasi 'lompat parti' ditamatkan segera dan tidak akan menjawab lagi soalan yang sama dari mana-mana pihak, sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada tugas.

Saturday, May 15, 2010

Menteri Besar lancar Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

SUNGAI PETANI - Pentadbiran tanah negeri memainkan peranan yang cukup agresif di dalam mengutip cukai tanah seperti mengadakan siasatan, mengeluarkan Notis 6A kepada pemilik tanah termasuklah kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak membayar tunggakan cukai tanah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut menyokong tindakan Pejabat Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Daerah yang menguatkuasakan undang-undang termasuk tindakan rampasan tanah ke atas pemilik tanah yang enggan membayar tunggakan cukai tanah.

“Saya dimaklumkan bahawa sudah ada tanah milik GLC yang sekarang ini di dalam tindakan Pentadbir Tanah Daerah untuk rampasan dan penguatkuasaan undang-undang ini dilaksanakan tanpa kompromi, adil dan saksama tanpa mengira status pemilik tanah tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah Peringkat Negeri Kedah di SP Plaza, di sini.

Dengan pelbagai kemudahan yang ada, katanya, tidak ada sebab untuk pemilik tanah tidak membayar cukai tanah dan sekiranya rasa tidak mampu untuk membayar semua cukai tanah, kemudahan ansuran boleh dibuat di pejabat tanah.

“Macam-macam kemudahan yang disediakan oleh pentadbiran tanah negeri untuk tujuan memudahkan dan menggalakkan pemilik tanah menjelaskan cukai tanah tetapi segala kemudahan yang ada ini tidak membawa apa-apa makna jika pemilik tanah tidak ada kesedaran atau tidak ada rasa tanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, sekarang ini terdapat kemudahan kaunter bergerak yang mana pejabat tanah akan masuk ke kampung-kampung di mana penghulu-penghulu serta ahli jawatankuasa masjid memainkan peranan yang penting untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kemudahan kaunter bergerak ini.

“Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjelaskan cukai tanah kerana cukai yang menjana pendapatan negeri ini akan dapat menampung perbelanjaan fizikal seperti pembinaan sekolah, masjid, balai raya dan sebagainya dan sekiranya cukai tidak dibayar, pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga banyak membelanjakan peruntukan bagi menggalakkan dan mengingatkan pemilik-pemilik tanah tentang tanggungjawab untuk membayar cukai tanah seperti pemasangan iklan-iklan di billboard, banner dan streamers yang dipaparkan di merata tempat.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dr. Abd. Isa Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Noor Haji Rofie dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Haji Abdullah Mat Akhir.

Wednesday, May 12, 2010

YB Tan Chow Kang wakil rakyat angkat Bakar Arang

Oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, YB. Tan Chow Kang dilantik sebagai ADUN angkat Bakar Arang menggantikan YB. Tan Wei Shu yang telah melompat parti menjadi ADUN bebas.


Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, adalah menjadi amalan kerajaan negeri bagi mana-mana DUN yang diwakili parti pembangkang, maka kawasan tersebut diberi kepada ADUN di kalangan parti kerajaan sebagai DUN angkat.

“Setelah YB. Tan Wei Shu keluar daripada PKR, maka kita telah bersetuju untuk lantik YB. Tan Chow Kang sebagai ADUN angkat Bakar Arang. YB. Tan Wei Shu masih wakil rakyat, tetapi kita mahu wakil daripada kerajaan untuk jaga kawasan itu.

“Ini adalah bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan kerajaan, iaitu Pakatan Rakyat dapat berjalan lancar dan rakyat boleh buat rujukan dan membuat aduan melalui YB. Tan Chow Kang.

“Polisi ini bukan berlaku sekarang dalam kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi sejak dahulu lagi telah diamalkan oleh pemerintah dahulu,” jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini.

YB. Tan Chow Kang juga telah dilantik sebagai Exco sejak 12 Mac lalu yang memegang portfolio Hal Ehwal Masyarakat Cina, Alam Sekitar dan Pengangkutan.

Monday, March 2, 2009

senarai exco kedah mulai 3 Mac

SENARAI BARISAN EXCO KERAJAAN NEGERI KEDAH MULAI 3 MAC 2009
BIL
NAMA EXCO
POTFOLIO
1
YAB. DATO' SERI USTAZ HAJI AZIZAN BIN ABDUL RAZAK
Pengerusi J/Kuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi & Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan
 
 
2
 
YB. DATO' IR. HAJI PHAHROLRAZI BIN HAJI ZAWAWI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
 
Pengerusi J/Kuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Pemb. Luar Banndar & Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga
 
 
3
 
YB. DATO' HAJI MOHAMED TAULAN BIN MAT RASUL
 
Pengerusi J/Kuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi
 
 
4
 
YB. DATO' HAJI AMIRUDDIN BIN HAJI HAMZAH
 
Pengerusi J/Kuasa Industri & pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan
 
 
5
 
YB. MOHAMAD RADZHI BIN SALLEH
 
Pengerusi J/Kuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia
 
 
6
 
YB. DR. HAJI HAMDAN BIN MOHAMED KHALIB
 
Pengerusi J/Kuasa Belia & Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan
 
 
7
 
YB. USTAZAH HJH SITI AISHAH BIN HAJI GHAZALI
 
Pengerusi J/Kuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat
 
 
8
 
YB. HAJI ABDULLAH BIN JUSOH
 
Pengerusi J/Kuasa Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat ICT dan Komunikasi, Pembangunan Usahawan
 
 
9
 
YB. DR. ISMAIL BIN SALLEH
 
Pengerusi J/Kuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan
 
10
YB. TAN WEI SHU
Pengerusi J/Kuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan