Sunday, June 13, 2010

MB rasmi tanam cerucuk Persatuan Budhist Kedah

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan bahawa adalah menjadi dasar kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada kemudahan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

“Kerajaan telah menyumbang RM150 ribu kepada tiga sekolah persendirian jenis kebangsaan Cina.

“Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk membeli sebidang tanah seluas 4 ekar bagi mendirikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong di Suka Menanti,” jelas beliau pada majlis rumah terbuka dan upacara menanam cerucuk bangunan baru Persatuan Buddhist Kedah di Jalan Putra, di sini.

Menurut beliau, kerajaan juga telah meluluskan RM10 ribu untuk jamuan majlis tersebut sebagai tanda kesejahteraan rakyat diperkukuhkan serta kebebasan agama dijaminkan oleh perlembagaan.

“Saya dimaklumkan bahawa Persatuan Buddhist Kedah telah lama memohon tapak ini untuk dibangunkan, tetapi oleh kerana beberapa sebab terhalang, mereka tak dapat kelulusan sebelum ini.

“Pada hari ini telah membuktikan bahawa kerajaan akan melayan dan berlaku adil tanpa mengira kaum demi menunaikan keperluan dan permintaan mereka.

“Kebebasan agama telah dijaminkan oleh perlembagaan, walaupun agama Islam sebagai agama rasmi, tetapi agama lain boleh diamalkan penuh kebebasan dan kedamaian di mana-mana saja dalam negara kita. Ajaran Islam meminta kita menghormati agama lain,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB S. Manikumar, Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Dato’ Latt Shariman Abdullah, ADUN Kota Darul Aman, YB Lee Guan Aik serta ketua-ketua Sami Wat Siam Kedah/Perlis.

No comments: