Sunday, May 23, 2010

Spekulasi DUN Kedah bubar berakhir

Ditulis oleh AZMAN AHMAD

KOTA SARANG SEMUT, 22 Mei - Spekulasi kononnya Menteri Besar YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan DUN ekoran empat ADUN dari gabungan parti kerajaan yang memerintah akan 'melompat' parti berakhir apabila keempat-empat ADUN yang dilibatkan membuat penegasan bahawa mereka sekali-kali tidak akan keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar.

Keempat-empat ADUN tersebut ialah YB Lim Soo Nee (PKR Kulim), YB Tan Chow Kang (PKR Sidam), YB S. Manikumar (PKR Bukit Selambau) dan YB Lee Guan Aik (DAP Kota Darul Aman). Keempat-empat mereka berceramah bersama YAB Menteri Besar di hadapan lebih 20 ribu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah di sini. Kesemua mereka meminta spekulasi 'lompat parti' ditamatkan segera dan tidak akan menjawab lagi soalan yang sama dari mana-mana pihak, sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada tugas.

Saturday, May 15, 2010

Menteri Besar lancar Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

SUNGAI PETANI - Pentadbiran tanah negeri memainkan peranan yang cukup agresif di dalam mengutip cukai tanah seperti mengadakan siasatan, mengeluarkan Notis 6A kepada pemilik tanah termasuklah kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak membayar tunggakan cukai tanah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut menyokong tindakan Pejabat Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Daerah yang menguatkuasakan undang-undang termasuk tindakan rampasan tanah ke atas pemilik tanah yang enggan membayar tunggakan cukai tanah.

“Saya dimaklumkan bahawa sudah ada tanah milik GLC yang sekarang ini di dalam tindakan Pentadbir Tanah Daerah untuk rampasan dan penguatkuasaan undang-undang ini dilaksanakan tanpa kompromi, adil dan saksama tanpa mengira status pemilik tanah tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah Peringkat Negeri Kedah di SP Plaza, di sini.

Dengan pelbagai kemudahan yang ada, katanya, tidak ada sebab untuk pemilik tanah tidak membayar cukai tanah dan sekiranya rasa tidak mampu untuk membayar semua cukai tanah, kemudahan ansuran boleh dibuat di pejabat tanah.

“Macam-macam kemudahan yang disediakan oleh pentadbiran tanah negeri untuk tujuan memudahkan dan menggalakkan pemilik tanah menjelaskan cukai tanah tetapi segala kemudahan yang ada ini tidak membawa apa-apa makna jika pemilik tanah tidak ada kesedaran atau tidak ada rasa tanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, sekarang ini terdapat kemudahan kaunter bergerak yang mana pejabat tanah akan masuk ke kampung-kampung di mana penghulu-penghulu serta ahli jawatankuasa masjid memainkan peranan yang penting untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kemudahan kaunter bergerak ini.

“Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjelaskan cukai tanah kerana cukai yang menjana pendapatan negeri ini akan dapat menampung perbelanjaan fizikal seperti pembinaan sekolah, masjid, balai raya dan sebagainya dan sekiranya cukai tidak dibayar, pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga banyak membelanjakan peruntukan bagi menggalakkan dan mengingatkan pemilik-pemilik tanah tentang tanggungjawab untuk membayar cukai tanah seperti pemasangan iklan-iklan di billboard, banner dan streamers yang dipaparkan di merata tempat.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dr. Abd. Isa Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Noor Haji Rofie dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Haji Abdullah Mat Akhir.

Wednesday, May 12, 2010

YB Tan Chow Kang wakil rakyat angkat Bakar Arang

Oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, YB. Tan Chow Kang dilantik sebagai ADUN angkat Bakar Arang menggantikan YB. Tan Wei Shu yang telah melompat parti menjadi ADUN bebas.


Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, adalah menjadi amalan kerajaan negeri bagi mana-mana DUN yang diwakili parti pembangkang, maka kawasan tersebut diberi kepada ADUN di kalangan parti kerajaan sebagai DUN angkat.

“Setelah YB. Tan Wei Shu keluar daripada PKR, maka kita telah bersetuju untuk lantik YB. Tan Chow Kang sebagai ADUN angkat Bakar Arang. YB. Tan Wei Shu masih wakil rakyat, tetapi kita mahu wakil daripada kerajaan untuk jaga kawasan itu.

“Ini adalah bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan kerajaan, iaitu Pakatan Rakyat dapat berjalan lancar dan rakyat boleh buat rujukan dan membuat aduan melalui YB. Tan Chow Kang.

“Polisi ini bukan berlaku sekarang dalam kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi sejak dahulu lagi telah diamalkan oleh pemerintah dahulu,” jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini.

YB. Tan Chow Kang juga telah dilantik sebagai Exco sejak 12 Mac lalu yang memegang portfolio Hal Ehwal Masyarakat Cina, Alam Sekitar dan Pengangkutan.