Saturday, February 21, 2009





2,026 Ketua Kampung terima tauliah dari Menteri Besar
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIMALOR SETAR – Seramai 2,026 Ketua Kampung/Komuniti di bawah 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menerima Sijil Tauliah Pelantikan yang disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Majlis tersebut diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri Kedah, Ketua Kampung/Komuniti merupakan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi mengembeleng tenaga bersama kerajaan dalam usaha memacu pembangunan negeri bagi mencapai Kedah Sejahtera.“Semua kita bekerja atas satu pasukan untuk capai matlamat yang kita perjuangkan, tak kira pangkat, dalam pentadbiran, tak kira kita berada di peringkat atasan mahupun bawahan.“Seperti tayar kereta dan skru tayar, walaupun tayar lebih mahal dari skru, kalau skru longgar, tayar tercabut habis,” ujar beliau sambil memberi contoh yang mudah, tapi membawa makna kepada pendengar,” ujarnya.
Tambahnya, Ketua Kampung/Komuniti bertanggungjawab menjalankan aktiviti kemasyarakatan di bawah seliaan Penghulu Mukim dan Pegawai Daerah serta mendengar masalah masyarakat, dan seterusnya membantu menyelesaikannya.“Ketua kampung berperanan memperkasakan kuasa penghulu, kerajaan lantik ketua kampung atau komuniti untuk menolong kerajaan bantu masyarakat, dalam usaha pembangunan sosial, keluarga, ekonomi ke arah kampung atau taman sejahtera,” ujar beliau.Menteri Besar turut menasihatkan Ketua Kampung/komuniti agar berlaku adil dalam memberikan khidmat kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, keturunan serta fahaman politik.“Ketua kampung boleh berpolitik, tapi dalam masyarakat perlu bersatu, kerjasama, adil untuk membina kampung atau taman aman dan sejahtera.“Saya sering mengamalkan sikap lebih baik kita silap mengampunkan orang, daripada kita menghukum orang yang tak bersalah,” jelas beliau.

No comments: